21.3.10

Akal dulu baru emosi

Kita kerap menghukum atau menilai salah dan kekhilafan seseorang bagaikan seseorang itu langsung tidak berdaya untuk berfikir dan menilai. Selalu-selalu juga kita merendah-rendahkan pendapat atau pendirian seseorang bagaikan seseorang itu langsung tidak mampu untuk menyaingi kepandaian kita. Selalu-selalu kita merasakan hanya telahan kita sahaja yang benar kerana kita tidak percaya orang lain sebijak kita untuk berfikir dalam haluan yang sama. Tanpa sedar, kita sebenar nya sangat mementingkan diri sendiri.

Kita lupa, semua orang mempunyai hak untuk berfikir dengan cara mereka sendiri. Semua orang berhak untuk berbeza pendapat dan semua orang juga punya akal untuk berfikir serta menilai mengikut persepsi masing-masing. Semua orang tidak semesti nya setuju dan sehaluan dengan kita dan kita juga tidak punya hak untuk memaksa semua orang bersetuju dengan kepandaian serta kebijaksanaan kita menafsir. Tetapi, kita punya hak untuk meminta pandangan serta pendirian kita dihormati.

Namun, bagaimana orang mahu menghormati pendirian kita sedang kita sendiri tidak mahu menghormati pendirian orang lain? Mana mungkin orang lain mahu percaya yang kita mampu menggunakan akal untuk berfikir sedang kita tidak mahu percaya yang orang lain mampu berfikir seperti kita!

Hakikatnya semua orang punya akal dan fikiran untuk berfikir dan menilai dari sudut pandangan masing-masing. Hanya keutamaan serta kepentingan yang akan membezakan hasil penilaian terhadap sesuatu perkara yang sama. Sekalipun tiap kali penilaian dibuat berlandaskan hukum matlamat akan menghalalkan cara serta mengabaikan nilai moral dan etika, sebetulnya kita tidak punya hak untuk memaksa seseorang menukar pendiriannya. Sebaiknya kita harus berusaha untuk memberikan ruang kepada seseorang itu berfikir dan membantu dirinya menilai kembali dengan lebih menyeluruh serta memberikan kepercayaan yang sepenuhnya bahawa seseorang itu pasti dengan sendiri dan rela hati akan menyedari hakikat yang matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Hanya diri yang sentiasa mahu menghalalkan cara dengan mempergunakan matlamat!

Doa dan harapan kita panjatkan semoga seseorang itu dengan dada yang lapang menginsafi kesilapan serta kekhilafan diri dalam melindungi keutaman serta kepentingan yang salah.

* umpama menarik rambut dari dalam tepung...biar rambut tidak putus, tepung tidak tumpah.


No comments:

Post a Comment